Sayu adik dicerca di media sosial


Jitra: Kakak remaja yang terbunuh akibat dilanggar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) di Megat Dewa dekat sini, semalam, sayu dan sedih dengan tanggapan orang ramai di media sosial mengatakan adiknya membunuh diri, sakit mental, serta mempunyai masalah sosial.
Ketika ditemui di rumah ibunya di Megat Dewa, Kodiang, Hajar Yaziz, 27, berkata sebagai kakak paling rapat dengan adiknya, dia tahu Mohd Afendy, 20, taat agama, tidak pernah melawan atau meninggikan suara kepada mereka sekeluarga.
“Sedih melihat komen netizen di Facebook cakap adik saya macam-macam sedangkan kami tahu dia macam mana.
“Dia kerap melawat saya di Sungai Petani, malah menjaga saya ketika dalam pantang. Dia tidak keluar malam, suka duduk di rumah dan menghabiskan masa bersama keluarga ," katanya yang meminta semua berhenti menyebarkan gambar arwah adiknya.
Menurutnya, selepas tamat tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Megat Dewa, adiknya melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah pondok di Perlis, namun berhenti setelah setahun dan bercadang belajar pondok di Kedah.
Kini bunyi kereta api ETS yang lalu di tepi ruma mereka menjadi igauan ngeri kepada ibu mangsa, Saripah Kassim, 54.
Bagaimana tidak, jarak rumahnya dengan landasan tren hanya 50 meter dan dia sekeluarga boleh mendengar dengan jelas bunyi tren yang lalu antara tiga hingga empat kali sehari.
Sebulan sebelum kematian anaknya itu, arwah ada membuat catatan di Facebook mengenai tanda-tanda 100 hari sebelum kematian.
Dalam kejadian kejadian 4.40 petang semalam, di Kilometer 114, laluan Kodiang-Anak Bukit, Afendy, anak keenam daripada sembilan beradik dikatakan baru selesai solat Asar dan hendak melintas laluan tren untuk membeli roti di seberang jalan.
Afendy tidak sempat mengelak tren ETS dari arah Padang Besar ke Kuala Lumpur menyebabkan dia dilanggar dan cebisan mayatnya diseret sehingga satu kilometer.
Saripah berkata ketika kejadian, dia ada urusan di Padang Sera dan Afendy berada bersama seorang lagi anaknya, Nurjannah, 15, serta nenek mereka.
"Ketika kejadian, tok (nenek) dia kelam kabut terus pergi tengok dan panggil Nurjannah datang. Lepas itu panik tak tau nak buat apa, telefon Hajar di Alor Setar," katanya.

Share this

Related Posts

First