Nukilan cinta basi kaut RM2.1j

Kuala Lumpur: Dapat untung mudah RM2.1 juta hanya bermodalkan nukilan puisi cinta basi dihantar melalui Facebook. Itu antara penipuan terancang cinta siber didalangi seorang wanita tempatan berusia 56 tahun.
Suspek dipercayai belajar dari sindiket Afrika untuk memperdayakan ramai mangsa dalam kalangan wanita tempatan selain dikesan menyamar sebagai pegawai kastam.
Malah, suspek turut dibantu dua suspek warga Nigeria masing-masing lelaki berusia 31 tahun dan wanita berusia 38 tahun.
Bagaimanapun sindiket itu yang aktif sejak tahun lalu ditumpaskan selepas dalang wanita itu diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
Timbalan Pengarah Risikan Operasi JSJK Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid berkata, suspek utama ditahan di sekitar kompleks beli-belah di Taman Maluri Cheras, di sini jam 10 malam kelmarin.
Beliau berkata, soal siasat dijalankan ke atas suspek membawa kepada serbuan di sebuah perumahan di Taman Megah, Kajang, Selangor.
Menurutnya, polis menahan dua lagi rakan suspek warga Nigeria.
“Kami percaya suspek yang menyawar pegawai kastam itu memperdaya wanita tempatan.
“Suspek memujuk mangsa membuat bayaran kepada syarikat kurier dengan mendakwa barang milik mereka yang dihantar oleh kekasih ditahan oleh kastam,” katanya.
Difahamkan suspek warga Nigeria turut diberi peranan memikat mangsa melalui perkenalan di laman sosial Facebook sebelum menjerat mereka dengan hubungan cinta.
Suspek kemudian mengatakan akan memberi hadiah lumayan kepada mangsa sebelum barangan itu didakwa ditahan pihak kastam.
Roslan memberitahu pihaknya juga merampas wang tunai lebih RM10,000, enam telefon bimbit, empat kad mesin pengeluaran automatik (ATM), dua komputer dan kereta model Perodua MyVi.
“Kami percaya pihak JSJK berjaya selesaikan lapan kes membabitkan penipuan dilakukan suspek,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman sosial Twitternya mengucapkan syabas kepada JSJK Polis Diraja Malaysia ata kejayaan menumpaskan sindiket ‘Romance Scam’ itu.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »