Permintaan tinggi

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan pertumbuhan antara 10 dan 12 peratus eksport Malaysia bagi sektor peralatan perubatan tahun ini bersandarkan kepada perkembangan permintaan pasaran asing.
Tahun lalu, eksport peralatan perubatan mencatatkan sebanyak RM15.35 bilion berbanding RM13.49 bilion dan antara pasaran terbesar mengimport dari Malaysia pada 2015 ialah Belanda, Jepun, United Kingdom, Belgium serta Amerika Syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, antara faktor lain yang memacu pertumbuhan eksport pada tahun ini ialah ekonomi Eropah yang menunjukkan pemulihan positif, banyak pemain industri asing menyuntik pelaburan di Malaysia dan perkembangan teknologi peralatan perubatan.
Beliau berkata, antara produk yang mendapat permintaan tinggi di pasaran asing antaranya peranti perubatan, kanta lekap dan rumusan pemulihan penuaan.
“Malaysia mempunyai potensi besar dalam sektor peralatan perubatan memandangkan negara mendapat kepercayaan dari pengguna di pasaran asing kerana produk kita berkualiti dan menawarkan harga kompetitif.
“Malaysia turut mempunyai sumber semula jadi yang boleh digunakan pelabur dalam sektor ini meminimumkan kos pengeluaran bagi dipasarkan ke negara asing yang membantu kita untuk menarik pelaburan asing ke negara ini,” katanya selepas merasmikan Seminar dan Bengkel Peralatan Perubatan, di sini, semalam.
Seminar berkenaan dianjurkan MATRADE disertai sekitar 200 peserta dalam kalangan pemain industri bagi mendedahkan isu pematuhan standard dalam industri peralatan perubatan.
Dzilkifli berkata, seminar itu turut disertai pemain industri kecil dan sederhana (PKS) bagi menggalakkan mereka meneroka pasaran luar negara yang tidak melanggar piawaian antarabangsa untuk memasarkan produk peralatan perubatan.
“Seminar ini juga membantu pemain industri tempatan meningkatkan jaringan perniagaan dengan syarikat antarabangsa (MNC) serta syarikat asing turut boleh mengetahui inisiatif ditawarkan kita bagi menggalakkan pertumbuhan industri peralatan perubatan di Malaysia,” katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »