Denda gagal kawal pemain

London: Chelsea dan Tottenham masing-masing didenda £375,000 (RM2.18 juta) dan £225,000 (RM1.3 juta) kerana gagal mengawal pemainnya ketika seri 2-2 di Stamford Bridge, awal bulan ini.
Pertembungan jiran setempat London yang tegang itu lebih panas apabila Chelsea bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk memastikan mata yang menamatkan impian Tottenham menjuarai Liga Perdana.
Pemain tengah Tottenham Mousa Dembele dikenakan penggantungan enam perlawanan selepas mencucuk mata penyerang Chelsea Diego Costa dalam satu daripada aksi pergaduhan memalukan.
Pengadil Mark Clattenburg tidak menghukum Dembele kerana tindakannya itu, namun ulang tayang televisyen jelas menunjukkan pemain kebangsaan Belgium itu menyerang Costa.
Keseluruhannya ada 12 layangan kad kuning dan pengurus Tottenham Mauricio Pochettino satu ketika meluru ke padang untuk meleraikan pemain Tottenham Danny Rose dan pemain Chelsea Willian.
Perseteruan berterusan selepas wisel penamat apabila Rose terbabit dalam satu lagi insiden yang mencetus pergaduhan membabitkan pemain dan staf kedua-dua kelab dan menyaksikan pengurus sementara Chelsea Guus Hiddink ditolak jatuh.
“Chelsea dan Tottenham Hotspur masing-masing didenda £375,000 dan £225,000 selepas kedua-dua kelab mengaku melanggar tiga peraturan FA kerana gagal mengawal pemain atau pegawai mereka,” menurut satu kenyataan FA.
“Ia berikutan insiden pada minit ke-45 dan ke-87 dan juga selepas perlawanan tamat di Stamford Bridge pada Isnin 2 Mei 2016.” - AFP

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »