Kemenangan Duterte bantu peniaga

Davao (Filipina): Tidak kiralah nombor plet kereta ‘DU30’ (DU-thirty) atau kemeja-t ‘The Punisher’ (Penghukum), rakyat Filipina berebut-rebut membeli barangan yang boleh dikaitkan dengan bakal presiden, Rodrigo Duterte.
Peniaga di tepi lebuh raya di Davao - tempat Duterte dianggap sebagai wira selepas tindakan tegasnya ketika menjadi datuk bandar mengubah bandar jenayah itu - rancak menjual pelekat, cawan dan apa saja berkaitan dengan Duterte di gerai mereka.
Peniaga Lovella Quino, yang tidak ketinggalan menjual barangan seumpama itu berkata: “Duterte, terima kasih banyak-banyak. Kerana kamu, perniagaan kami berkembang dan ini amat membantu keluarga kami.”
Nombor plet kereta tertulis DU30 - singkatan digunakan Duterte - dijual dengan harga 150 peso (RM13), antara barangan paling laku sejak bekas datuk bandar itu memenangi pilihan raya presiden minggu lalu.
Pelancong, Saudi Lampuni berkata, dia sanggup datang awal ke situ untuk mencari nombor plet kereta itu kerana bimbang habis.
Seorang lagi pelancong, Vincent Cartilla yang turut mengundi Duterte berkata, dia mahu membeli cendera mata untuk keluarga dan rakannya.
“Kami mahu menghadiahkannya kepada rakan dan keluarga yang berkempen menyokong Duterte. Pasti mereka hilang tekanan dan gembira dengan hadiah ini,” katanya.
Walaupun pendirian Duterte terhadap jenayah termasuk menyokong membunuh penjenayah tanpa melalui proses mahkamah banyak diperkatakan, pelabur juga optimis dia akan meneruskan dasar ekonomi Filipina yang memberi kesan positif terhadap pasaran.
Sebuah kedai cetak di Davao yang menghasilkan kemeja-t ‘The Punisher’ berkata, kepemimpinan Duterte sudah pun memberi kesan positif terhadap perniagaannya. - Reuters

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »